Saturday, 22 September 2012

ALUMJAN 08 Reunion


Entri ini dibuat khas untuk sahabat-sahabat Juruaudit Batch September 2008 atau nickname dalam alam maya dikenali sebagai ALUMJAN 08. Nama tersebut merupakan nama rasmi pertubuhan yang diasaskan oleh Saudari Suraya (Kak Su) dan kalau tak silap aku diilhamkan oleh Saudari Siti Maisarah (no keahlian : tak tau) kepada beliau. Asalnya aku mencadangkan supaya pertubuhan yang tidak berdaftar itu dinamakan sebagai ALUMNAIBECJURUODETTAONDUERIBULAPAN, namun ia tidak mendapat sokongan majoriti di mana hanya seorang sahaja yang menyokong nama tersebut digunakan iaitu Saudara Qamarul. Baiklah, entri kali ini aku nak ceritakan berkenaan kursus LOM (Leadership & Organizational Management) yang diadakan pada 9 hingga 14 September 2012 di Selesa Beach Resort, Port Dickson. Nampak, intro kali ini sahaja sudah cukup memberikan gambaran bahawa entri kali ini lebih berbentuk serius dan formal berbanding entri-entri sebelum ini. Selain itu, segala kata-kata pujian kepada diri sendiri mahupun unsur-unsur riak berkenaan sifat mahmudah diri akan dielakkan dalam penulisan lanjut. Ayuh, teruskan membaca.

Kursus LOM yang aku hadiri ni lebih kepada sesi reunion dengan batch aku sebab 21 atau 75% daripada 28 peserta merupakan peserta yang sama ketika sesi induksi bilangan 1 tahun 2009 dahulu. Adalah beberapa orang budak batch aku yang tak datang atas sebab bersalin, cuti bersalin dsb. Ada jugak yang yang tak bagitau sebab apa tak datang walaupun telah di’sms’ dan call beberapa kali. Pada hari pertama berkursus tu (Ahad malam), lebih kepada sesi ice breaking antara peserta dan penceramah (Encik Shukri Ibrahim). Beliau ni memang seorang yang very softspoken dan rasanya memang tak pernah marah kot sepanjang hidup beliau. Sentiasa tersenyum dan muka beliau ada iras-iras dengan muka Tun Mahathir.

Peserta, Urus Setia & Penceramah Bergambar Bersama
Kursus sebenar hanya bermula pada hari Isnin (10 September) di mana sesi pembelajaran dalam kelas mengambil tempat dan sememangnya aku sangat bosan dalam keadaan begini. It’s all about theory dan sebagai seorang yang gemar menggunakan otak kanan, aku berasa seperti masa berjalan begitu lambat ketika berada di dalam kelas. Dahla kelas sampai malam plak tu. Penceramah pulak jenis yang tak tengok jam. Banyak malam jugakla yang terlepas sampai pukul 11 lebih sedangkan kalau ikut jadual kelas malam habis pukul 10.30. Nasib baik agenda kelas malam ni lebih kepada menonton wayang gambar. Tapi, movie tu bukan setakat untuk ditonton je, esoknya kena present dengan mengaitkan apa yang telah dipelajari di dalam kelas. Cuma yang tak syoknya sebab takde kaunter jual popcorn dan apatah lagi couple seat dalam panggung tersebut.

Tengok Wayang Gambar
Dipendekkan cerita, lepas habis kelas malam hari Rabu (12 September) tu aku, Syahrul dan Khalid bercadang nak lepak minum kat maple akibat dah gian teh tarik. Aku pulak dah berkira-kira nak order maggi goreng mamak pedas dan teh o ais tanpa alkohol kerana makan malam sebelumnya kurang memuaskan nafsu makan aku. So, tempat biasa sudah pasti di Restoran Mamak (diyakini Islam) kat roundabout. Setibanya di sana dan setelah Syahrul mem’parking’kan kereta sambil membetulkan parking anu beliau, kami terpandang sebuah pusat karaoke yang macam baru beroperasi berdasarkan terdapat banner besar di depan kedai tersebut bertulis “Kini Dibuka”. Lantas, hajat untuk memakan maggi goreng mamak pedas dan meminum teh o ais tanpa alkohol terkubur begitu sahaja kerana nafsu untuk memasuki pusat karaoke tersebut telah mengatasi segala-galanya bagi kami bertiga. Tapi kalian jangan salah faham kerana nafsu melonjak-lonjak bukan kerana terlihat gadis penjaga kaunter ataupun GRO yang berada di dalamnya, sebaliknya ia hanyalah semata-mata untuk melepaskan kegianan terhadap ‘menyumbangkan’ lagu yang mana selama ini hanya dilepaskan ketika berseorangan di dalam kereta, ketika mandi di bilik air mahupun ketika berak di dalam jamban. Setelah membayar RM15, kami pun berkaraoke selama 1 jam dan ketika last song diisyaratkan, aku menambah RM7 untuk tambahan setengah jam lagi. Sesi karaoke selesai pada pukul 1 pagi di mana kami juga merupakan pelanggan terakhir yang berada di dalam pusat karaoke tersebut.

Esoknya, aku pergi ke kelas dengan mata panda akibat kekurangan tidur (selalunya waktu tidur aku adalah selama 8 jam berterusan). Dalam pada itu, aku dan Syahrul bercadang untuk pergi lagi ke pusat karaoke tersebut pada petang hari Khamis (13 September). Setelah kegiatan tersebut terbongkar dan diketahui oleh beberapa rakan-rakan lain, mereka berasa teruja untuk mennyertai aktiviti tersebut dan bercadang untuk melakukannya pada malam itu selepas habis kelas. Lalu aku pun melantik diri sendiri sebagai Urus Setia untuk program yang dicadangkan itu dengan mengedarkan satu list peserta berserta syarat-syarat penyertaan. Antara syarat-syarat penyertaan adalah seperti berikut:

- Lepas habis kelas, terus pergi ke pusat karaoke. Bila dah  abes, cepat –cepat berambus dan sekiranya belum menunaikan solat Isha’ (bagi yang boleh), hendaklah segera menunaikannya sebelum tidur
- Mestilah seorang yang engsem, comel, cute, lawa dan gojes
-  Pandai menari (sekurang-kurangnya tarian pocho pocho)
-  Dilarang mengambil minuman keras
- Dilarang meminum ais mahupun mengambil dadah jenis ice
- Dilarang melanggan GRO, berzina, ringan-ringan dan segala perbuatan terkutuk lain seperti menderhaka kepada ibu bapa, menganiaya haiwan dan memakan harta anak yatim
- Bilik hendaklah diasingkan di mana lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan. Ini bagi mencegah daripada berlakunya perkara seperti point di atas

Akhirnya, setelah list tersebut sampai semula ke tangan aku, 12 orang bersetuju untuk menyertai program tersebut di mana sebahagian besarnya merupakan wanita. So, pada petang tersebut, rancangan aku dan Syahrul untuk berkaraoke diteruskan sambil menempah 3 bilik untuk sesi malam nanti.

Khamis malam tu merupakan sesi terakhir kelas malam diadakan di mana ia lebih kepada aktiviti role play/simulation dan sememangnya aku amat gemar dengan aktiviti sebegini. Untuk sesi malam tu, peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan dan bertanding dalam 3 jenis game. Tapi aku nak cerita game yang ke-3 di mana setiap kumpulan diberikan lagu P.Ramlee iaitu Bila Larut Malam, Madu Tiga dan Aci-aci Buka Pintu. Kumpulan aku dapat lagu Bila Larut Malam. Asalnya aku dah terfikir nak buat drama muzikal tapi macam tak sesuai dan akhirnya kami memutuskan untuk buat nyanyi sambil berjoget. Aku dan Syahrul menyanyi duet dan yang lain berjoget diketuai oleh Sazali. Hasilnya group aku dapat markah terendah. Sistem pemarkahan adalah daripada setiap kumpulan yang lagi dua tu dan markah daripada penceramah. Untuk rekod, 2 pusingan sebelum tu, group aku dah leading tapi sebab pusingan 3 dapat markah rendah, terus overall kitorang kalah. Tapi xpelah, game suka-suka je, Bukan peringkat antarabangsa pun kan.

Sesi Berlatih
Tempat Ketiga
Tempat Kedua

Tempat Kesatu
Setelah tamat sesi kelas malam, kami bersebelas (ada sorang cancel) pun bergegas ke pusat karaoke tersebut sebab waktu tu dah pukul 10.50 malam sedangkan aku booking pukul 11.00 malam. Setibanya di sana, ada sedikit kekecohan berlaku sebab bilik yang aku tempah dah diberi pada orang lain. Namun, masalah tersebut diselesaikan tidak lama kemudian. Oh ya, dalam list yang aku edarkan semasa pencarian peserta siang tadi, aku ada buat 2 column iaitu “Yang Nak Nyanyi” dan “Yang Nak Tengok Je” bagi memudahkan aku membajet berapa banyak bilik yang perlu ditempah. Dalam list tu Cuma 7 orang je yang nak nyanyi selebihnya Cuma nak tengok je. Hasilnya malam tu, 5 orang yang cuma  nak tengok je pun menyanyi sakan gak. Anyway, program malam tu kira berjaya la sebab masing-masing nampak happy

Hari Jumaat (14 September) merupakan hari terakhir berkursus dan peserta dibenarkan pulang seawal lepas habis kelas sesi petang tu. Tapi aku dan beberapa rakan lain tunggu sampai lepas dinner dan penyampaian sijil pada malam tu. Bukan apa, nak sep (save) makan malam sambil lepak-lepak dengan member-member. So, rasanya setakat itu je la penulisan untuk kali ni. Secara keseluruhannya aku enjoy dengan kursus ni. Sekian.

Thursday, 20 September 2012

Grunge Is Dead ??

Nirvana said "Nevermind". Kepada kalian yang bercita rasakan muzik Kpop, Mpop (Max 24:7), Newboyz, Boboy dan lain-lain muzik yang bermelodi seumpama dengannya mungkin agak janggal dengan nama Nirvana. Bagi yang tidak tahu, band Nirvana ni merupakan sebuah band berkonsepkan Grunge yang diasaskan oleh Kurt Cobain (Vox & Guitar) dan Krist Novoselic (Bass) pada tahun 1987 di Aberdeen, Washington. Dave Grohl (kini front man band Foo Fighters) hanya menyertai Nirvana pada tahun 1990 sebagai pemain drum. Bagaimanapun, setelah kematian Kurt Cobain pada tahun 1994 (dipercayai membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri), Nirvana seakan berkubur dan akhirnya terus sepi di pentas muzik tempatan mahupun antarabangsa. Cukuplah setakat itu sahaja untuk intro.

Entry kali ini aku tidak berhajat untuk mengupas lanjut era kegemilangan muzik Grunge. Cuma, aku membesar dengan lagu-lagu Nirvana di mana aku mula mendengar lagu-lagu mereka sejak aku berumur 10 tahun dan sudah pastinya album Nevermind yang dikeluarkan pada tahun 1991 merupakan album terbaik bagi aku yang dikeluarkan oleh Nirvana di mana kesemua lagu-lagunya menjadi pencetus untuk aku berkecimpung dalam arena jamming walaupun mendapat tentangan keluarga pada awalnya. Ya, aku tau kalian akan bercakap "Benda-benda lagha camni yang ko minat, buat apa la nak disanjung-sanjung mat saleh kapiaq tu". Tapi pada waktu tu umur aku baru 11 tahun dan sudah pastinya segala dosa-dosa yang aku lakukan seperti tidak solat, mencuri, mengendap gadis-gadis mandi dan tidak berpuasa di bulan Ramadhan tidak dicatat oleh Malaikat Raqib disebabkan aku masih belum mencapai apa yang dikatakan sebagai akil baligh. Bagaimanapun, secara jujurnya, aku hanya meminati muzik mereka dan gaya lontaran vokal Kurt yang aku rasa agak cool ketika itu.

Menjelang tahun 1996, sebuah band tempatan iaitu Butterfingers telah muncul dengan album pertamanya berjudul 1.2 mg di mana konsep lagu yang dibawakan adalah boleh dikatakan 95% pengaruh Nirvana. Ditambah pula dengan vokal Emmet yang seakan-akan Kurt tu telah membuatkan aku menjadi 'Kipas susah mampos' Butterfingers. Pada waktu tu, budak-budak yang seangkatan dengan aku contohnya Apis, Ijam, Jiji (abang sayang Apis), Ajoi, Anusi Tugimin dan beberapa orang lagi mempersendakan aku kerana bagi mereka muzik Butterfingers ni mcm muzik lembik. Budak-budak ni pada masa tu tengah gila XPDC. Kononnya metal la tu, tapi gitar pun tak reti main. Last-last setelah teruja dengan kehebatan aku bermain lagu-lagu XPDC (walaupun aku tak berapa minat sangat XPDC pada waktu tu), akhirnya mereka pun teruja untuk menjadi mat band. Bermula dengan Apis, semuanya sibuk nak bermain alat-alat muzik pilihan contohnya Apis (gitar), Ijam (Drum - pengalaman sebagai pemain kompang Kampung Paya Jaras), Jiji (Mikrofon - bajet muka & suara mcm Awie), Ajoi (DJ - digugurkan dari band sebab tak ikut konsep) dan Anusi Tugimin (bass). Tapi sayangnya semuanya kecundang dan akhirnya membawa haluan masing-masing kecuali Apis. Tapi Apis tu pun main takdela hebat mana pun. Takat lagu-lagu senang macam can malican, di mana dia anak kambing saya dan suriram bolehla beliau main. Yang lain-lain tu aku kurang pasti, tapi latest yang aku dengar masing-masing dah jadik tokan berjaya dalam bidang masing-masing. Oklah, demi untuk tidak menghampakan peminat-peminat sekalian, aku hadiahkan kalian sebuah lagu cover daripada Butterfingers bertajuk Girl Friday. Ini merupakan lagu feveret aku sejak dari dulu sampai la sekarang. Bila aku dengar lagu ni, segala kenagan waktu baru-baru nak naik dulu (tak naik-naik pun sampai sekarang) akan terimbau kembali. Let's Grunge !!


Wednesday, 19 September 2012

Pengalaman Hari Pertama Sekolah



Credit to sabreehussin.com
Bila aku baca tajuk entry ni aku pun jadi keliru betul atau tidak perkataan tersebut digunakan. Ataupun ia berbunyi begini “ Pengalaman Bersekolah Pada Hari Pertama”?.Ah, tak kisahla apa tajuk yang digunakan sekalipun, asalkan maksudnya sampai ye tak. Hai kalian,apa khabar semua?Nampaknya bulan Syawal telah meninggalkan kita dan kini menyusul pula bulan Zulkaedah iaitu bulan yang ke 11 dalam turutan bulan Islam. Macam mana sambutan Syawal kalian pada tahun ini?Adakah berat badan kalian telah meningkat sekurang-kurangnya 5 kilogram atau lebih? Baiklah, entry kali ini aku nak kongsikan pengalaman hari pertama aku bersekolah (Darjah 1) kepada kalian. Untuk pengetahuan kalian, aku ni mungkin dianugerahkan ingatan yang kuat sebab aku masih boleh ingat satu persatu setiap saat hari pertama persekolahan aku di Darjah 1. Sebelum aku teruskan, aku ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu dan ayah sebab menyekolahkan aku, memberikan aku ilmu, mendidik dan memberikan aku segala kelengkapan dan keperluan untuk aku hidup sampai la aku dah ada duit sendiri. Ceh, tetibe teremosi plak. Ayuh teruskan membaca.

Pada pagi hari pertama bersekolah, aku dikejutkan oleh ibu seawal jam 6.00 pagi. Aku bangun-bangun je, lagu “Memburu Rindu (Hattan)” berkumandang di corong radio. Pada waktu tu memang aku tak tahu tajuk lagu tu, yang boleh membuatkan aku ingat adalah bait liriknya yang berbunyi “Ku genggam angin semalam, ku simpan jadi nyanyian, ku peluk bayang hitamku, menjadi kamus mimpiku”. So, setelah 21 tahun barulah aku tahu yang tajuknya adalah “Memburu Rindu” setelah aku google sebentar tadi. Lepas mandi-mandi semua dan tanpa mengerjakan solat subuh, buat kali pertama aku memakai seragam sekolah iaitu kemeja putih berserta seluar panjang biru bergetah tanpa jenama. Untuk makluman kalian, aku tak pernah memakai seluar sekolah pendek sejak Darjah 1 hinggalah Darjah 6. Mungkin daripada situ, ciri-ciri keimanan dan bakal imam muda dah terpancar pada wajah dan penampilanku walaupun tak solat subuh, zuhur, asar, maghrib, isha’ mahupun solat Jumaat. Tapi takpelakan, dah tentula masa tu aku belum mimpi lazat lagi, so kira tak berdosa la kan. Ok, lepas dah siap-siap semua (termasuk memakai minyak rambut code10 kaler biru dan menyikat rambut belah tepi), ayah aku pun hantar pergi sekolah dengan menaiki motosikal kapcai model Y80 keluaran Yamaha.

Sesampainya aku di pintu pagar sekolah, ayah menurunkan aku dan mem’parking’kan motosikal beliau. Lepas tu, beliau bawa aku menuju ke kelas aku iaitu 1 Usaha. Aku yang sememangnya dah teruja nak ke sekolah apatah lagi melihat gadis-gadis comel yang memakai gaun serta rambut bertocang dah tak mempedulikan keadaan sekeliling. Di luar kelas, aku masih ingat ramai ibu bapa menunggu anak masing-masing. Mungkin juga ada sebahagiannya yang dah blah termasuklah ayah aku. Cis, waktu tu aku dah menggelabah semacam je sebab tengok ayah aku dah tak kelihatan. Tapi aku buat-buat cool demi nak tunjuk macho di depan gadis-gadis comel yang sekelas dengan aku. Pada hari pertama tu yang aku ingat memang takde belajar apa-apa. Setakat belajar nak ucap selamat kalau cikgu/guru besar masuk, sesi berkenalan (ice breaking la kononnya) dan sesi borak-borak dengan member sebelah.

Setibanya waktu rehat, aku dah jadi hilang akal sebab aku mana la ada pengalaman beli barang/makanan sendiri. Sebelum-sebelum tu pun ibu atau ayah aku yang belikan kalau aku nak Tora ke, Ding Dang ke. So, aku pun ikut la arus budak-budak ke kantin. Di kantin, memang ramai mak bapak yang ada temankan anak-anak diorang, maklumlah first time nak beli sendiri. Walaupun ayah ada membekalkan aku duit belanja syiling RM1 yang kaler emas tu, tapi aku hanya sekadar berdiri terpacak di depan tiang beratur tempat beli makanan tu sambil memandang makcik yang jual nasi lemak tu. Yang hampehnya makcik jual nasi lemak tu langsung tak nak tanya aku “Adik nak beli apa?”ke “Adik nak makan apa?” ke atau sekurang-kurangnya “Adik ni cute la, nak jadik menantu makcik tak?” . Nasib baiklah ada sorang pakcik ni tak tau bapak sapa ntah yang belikan aku makanan. Dia belikan aku nasi lemak sepinggan berharga 30 sen dan segelas air sirap berharga 10 sen. Murah bukan harga makanan pada waktu tu?. Aku pun keluarkan syiling RM1 kaler emas tu nak bayar balik duit beliau, tapi beliau kata “takpe, pakcik belanja. Adik ni cute sangat sebab tu pakcik belanja”. Ayat kedua tu aku saja tambah-tambah. Aku pun makan la dengan pakcik tu dengan anak dia. Anak dia ni perempuan tapi aku rasa budak kelas lain sebab tak nampak pun muka dia dalam kelas aku. Tapi memang comel la anak pakcik ni, kira macam muka Ayu Raudhah masa kecik-kecikla. Agaknya pakcik tu nak jadikan aku menantu beliau kot berdasarkan rupa paras aku yang comel ketika itu ditambah pula dengan sifat-sifat imam muda wannabe.

Habis waktu rehat, aku pun masuk kelas semula. Masa tu kebanyakan mak bapak dah balik dah. Mungkin diorang cuma tunggu anak-anak diorang sampai rehat je kot. Tak lama lepas kitorang masuk kelas lepas waktu rehat tu, adalah sorang budak perempuan ni (aku tak ingat nama dia)  tiba-tiba berlari keluar kelas dan mencangkung kat longkang tepi kelas tu. Dia ni pakai baju gaun so dengan keadaan dia mencangkung kat longkang tu aku dah agak dia tengah berak. Cikgu plak lepas tu terus kelam kabut nak setelkan budak perempuan tu. So, bila cikgu tengah setelkan budak tu (mungkin bawak pergi tandas nak cebok), kitorang yang tinggal dalam kelas ni pun berborak sakan. Yang pastinya mestilah bukan berborak pasal politik mahupun isu-isu semasa.
Akhirnya, loceng yang menandakan waktu balik pun berbunyi. Sekali lagi aku mati kutu sebab tak tau ke mana hendak dituju. Ayah aku ni pun satu hal jugak, sebelum blah tadi tu patutnya bagitau la dulu nak suruh aku tunggu kat mana. Nasib baik aku ni cerdik, terus aku menuju ke arah kantin kot-kot ayah aku tunggu kat situ. Aku pun tunggu la sorang-sorang kat kantin tu. Masa mula-mula sampai, ramai la jugak budak-budak tengah tunggu mak bapak diorang. Tapi lepas satu-satu balik, ayah aku tak sampai-sampai jugak sampaila tinggal aku sorang-sorang kat kantin tu. Sambil menunggu tu, aku teringat yang duit belanja aku (syiling RM kaler emas) tu masih ada dalam poket seluar aku lagi. Kebetulan plak kat kantin tu ada vending machine yang jual air kotak. Aku pun pergi la kat mesin tu dan tengok dia tulis simbol $1. Aku pun membandingkan simbol atas syiling kaler emas aku dan aku dapati ianya sama. Disebabkan pada masa tu aku ni masih bodoh matematik lagi, lantas aku memasukkan syiling tersebut atas dasar simbol yang tertera adalah sama sambil berharap air kotak soya yang aku tekan akan turun ke lubang bawah mesin tu. Ternyata, harapan aku dimakbulkan Allah. Cuma, ayah aku je ni yang tak sampai-sampai lagi. Dalam hati aku kata mesti dia ni lupa kot anak dia dah sekolah atau lebih parah lagi kalau beliau masih berhibur di Pusat Snuker berdekatan bersama rakan-rakan sebab menganggap dirinya masih bujang. Ke’cool’an aku hampir hilang tatkala perasaan sedih telah melanda diri aku sebab ayah aku tak sampai-sampai lagi sehingga menyebabkan aku menangis mengeluarkan air mata. Tak lama lepas aku nangis tu, barulah ayah aku sampai dengan muka tak bersalah dia tu sambil melambai-lambai memanggil aku. Jadi itulah, pengalaman hari pertama aku bersekolah. Apa yang aku cerita ni memang cerita benar kecuali ada la yang aku tokok tambah sikit-sikit sebagai penyedap cerita. Sekian.