Sunday, 14 October 2012

Tutorial Chep Que : Cara Memasak Mi Segera Dengan Betul

Dewasa ini ramai di kalangan kaum lelaki yang hebat dan berbakat dalam bidang masakan. Malah ada di kalangan mereka yang menjadikan profesion tukang masak sebagai kerjaya masing-masing. Ini dapat kita lihat di hotel-hotel utama di mana kebanyakan ketua chef nya adalah merupakan sang lelaki. Baiklah, memandangkan program realiti Masterchef Malaysia musim 2 sedang hangat ditayangkan di saluran TV dan menjadi kegilaan ramai, saya ingin berkongsi dengan kalian tentang resepi turun temurun yang diwarisi daripada keluarga iaitu cara atau kaedah memasak mi segera dengan betul. Bagaimanapun, kaedah ini memerlukan teknik dan kepakaran tertentu agar hasil hidangan yang lazat dan menyelerakan dapat dipersembahkan. ayuh, teruskan membaca.

1. Pastikan kalian mempunyai stok sekurang-kurangnya sebungkus mi segera yang boleh dibeli daripada pasaraya berdekatan ataupun sekiranya kalian budak asrama, kalian boleh mencurinya daripada rakan se'dorm' atau sebilik. Tapi pastikan kalian meminta maaf dan memohon supaya menghalalkan mi segera yang anda curi itu ketika hari-hari terakhir atau sebelum hari peperiksaan besar contohnya SPM bermula.

2. Sebelum memulakan aktiviti masakan, kalian hendaklah memasukkan air secukup rasa ke dalam kuali atau apa jua bahan yang boleh digunakan untuk memasak kuah. Konteks secukup rasa di sini adalah bermaksud kalian boleh masukkan air ikut suka hati kalian asalkan mi segera boleh tenggelam di dalamnya. Cuma di sini, saya mengesyorkan supaya kalian menggunakan air yang telah dimasak supaya tidak perlu menunggu terlalu lama untuk menjerang air.

3. Selepas mengisi air secukup rasa, kalian perlu menjerang air tersebut (walaupun telah dimasak) bertujuan untuk membunuh saki baki kuman yang mungkin telah hinggap di dalam air tersebut. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memastikan hidangan dapat disediakan secara panas dan sudah pastinya akan memberi faktor kepada penambahan selera berbanding sekiranya hidangan adalah sejuk. Bagaimanapun, kalian perlu memastikan kepala gas telah dipasang dengan sempurna agar gas daripada tong hijau itu dapat dibekalkan kepada dapur dan seterusnya membolehkan api menyala setelah tombol dipusing. Ini kerana, perkara tersebut telah berlaku kepada diri saya dan akhirnya terpaksa meminta bantuan isteri bagi menyelesaikan masalah teknikal tersebut.

4. Setelah air yang dijerang menunjukkan tanda-tanda menggelegak, kalian perlu memasukkan kiub mi segera tersebut ke dalamnya dan biarkan kira-kira dalam 30 saat sebelum mematikan api dapur. Ini bagi memastikan mi segera anda tidak terlalu kembang dan lembik ketika dimakan kelak. Suka saya ingatkan di sini bahawa kalian jangan sekali-kali masukkan perencah terlebih dahulu ke dalam kuali kerana ia akan memberi kesan kepada kecairan kuah pada peringkat ini.

5. Baiklah, langkah seterusnya adalah kalian perlu toskan air yang berlebihan agar kuah yang dihasilkan tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair. Sila rujuk gambar di bawah sebagai panduan dan rujukan.



6. Setelah menge'tos'kan air berlebihan, di sinilah bermulanya langkah untuk kalian memasukkan perencah mi segera tersebut ke dalam hidangan kalian. Pastikan kalian memasukkan sepenuhnya perencah tersebut agar rasa kari/ayam/sayuran/asam laksa (bergantung kepada perisa apa yang anda beli atau curi) berada pada tahap yang optimum. Setelah memasukkan perencah berkaitan, kalian perlu menyalakan api dapur semula sambil menggaul mi segera tersebut sehingga sebati. Sekiranya kalian seorang pelajar sains tulen atau sains gunaan semasa di sekolah dahulu, pasti kalian akan memahami maksud sebati dalam konteks kimia di mana segala unsur telah berpadu dan menghasilkan satu enzim yang berbeza daripada sifat atau bentuk asal (saya agak-agak aje sebab dulu pun kimia saya dapat 5C). Dalam masa 15 saat, kalian perlu mematikan semula api dapur tersebut bagi mengelakkan mi segera anda menjadi semakin kembang atau lembik. 



7. Kini, tibalah masa yang ditunggu-tunggu, tuangkan hidangan mi segera kalian ke dalam mangkuk yang bersesuaian sebelum dihidangkan kepada para tetamu, ibu bapa, jiran-jiran mahupun rakan taulan kalian. Tapi, saya ingin menasihatkan kalian agar berhati-hati ketika menuang hidangan ke dalam mangkuk kerana kadangkala kuahnya akan meleleh ke bibir kuali atau bahan yang saya gunakan seperti di dalam gambar dan seterusnya jatuh ke table top. Sekiranya perkara ini berlaku, pastikan kalian cepat-cepat mengambil kain buruk atau apa sahaja bahan pengelap yang berhampiran dengan kalian dan mengelap tumpahan tersebut sebelum diketahui oleh isteri kalian atau teman wanita (sekiranya kalian jenis yang bersekedudukan tanpa ikatan sah). Ini bagi mencegah daripada berlakunya bebelan daripada mereka akibat kecuaian kita.



8. Akhirnya, hidangan telah tersedia dan kalian boleh memakannya pada bila-bila masa. Amacam, berguna bukan resepi turun temurun saya ini? Bolehla saya masuk Masterchef Malaysia musim ke-3 nanti ye tak. Tapi bila masa saya nak buat persediaan untuk menyertai program Imam Muda? Sekian sahaja. Selamat mencuba !

No comments:

Post a Comment