Sunday, 2 December 2012

Aku dan Bola Sepak

Tanah Tumpahnya Darahku

Tahniah diucapkan kepada pasukan Harimau Malaya kerana berjaya mengatasi pasukan Garuda dengan dua gol berbalas kosong dalam perlawanan terakhir Kumpulan B AFF Suzuki Cup. Ini sekaligus menjadikan Harimau Malaya sebagai naib juara kumpulan dan akan bertemu dengan pasukan Thailand dalam saingan peringkat separuh akhir nanti. Oleh itu, saya berhajat untuk menulis sebuah entri berkenaan bola sepak.

Bercakap mengenai bola sepak, rata-rata rakyat Malaysia terutamanya lelaki meminati sukan nombor satu dunia ini. Mungkin ada segelintir lelaki yang tidak meminati sukan ini sebaliknya meminati sukan lain umpamanya seperti sepak takraw, bola tampar, hoki atau pun bola jaring. Tapi kalau lelaki yang minat bola jaring tu mungkin lelaki yang tergolong dalam golongan berpewatakan lembut barangkali.

Sejak kecil sehinggalah sekarang, minat terhadap bola sepak tidak pernah lekang dalam diri saya. Bermula dengan bermain bola sepak secara kecil-kecilan sehinggalah secara besar-besaran. Dah macam meniaga pulak ayat saya ni. Saya mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia sejak dari liga bertaraf semi pro sehinggalah sekarang. Masa sekolah rendah dahulu, bukan setakat tunggu waktu Pendidikan Jasmani (PJ) je kalau nak main bola, malah boleh dikatakan tiap-tiap hari sama ada sebelum masuk kelas atau semasa waktu rehat saya bermain bola sepak bersama rakan-rakan. Main pakai baju sekolah je, so bile time masuk kelas baju masing-masing dah basah lencun dek peluh yang mengalir ketika sedang bermain bola sepak.

Kali pertama saya menyaksikan bola sepak di stadium adalah pada tahun 1991 di mana saya masih bersekolah dalam darjah 1 ketika itu. Perlawanan tersebut merupakan final Piala Malaysia  yang mempertemukan pasukan Johor dengan pasukan Selangor di Stadium Merdeka. Saya ke stadium bersama ayah saya dan beberapa orang rakannya yang lain. Disebabkan saya merupakan rakyat Johor, so saya ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan negeri kelahiran saya apatah lagi Johor telah menjuarai liga semi pro divisyen 1 ketika itu. Bagi membangkitkan mood menonton bola sepak di stadium, ayah telah membelikan saya pengikat kepala bertulis 'I LOVE JOHOR' yang dijual bersepah di perkarangan stadium. Ada dua insiden yang agak suey (malang) ketika itu. Pertama, saya (termasuk ayah dan kawannya) telah secara tidak sengaja tersalah masuk gate penyokong Selangor ketika mencari tempat duduk. Disebabkan saya memakai pengikat kepala bertulis 'I LOVE JOHOR', saya telah di'boo' dengan kuat oleh para penyokong Selangor yang berada di kawasan tersebut. Dalam hati saya berkata, " Apalah diorang ni, budak kecik pun nak boo". Daripada kata-kata tersebut, ia telah menampakkan kematangan saya berfikir sejak kecil bukan? Ok, insiden yang kedua adalah satu ketika di mana saya tidak tahan untuk terkencing ketika perlawanan sedang berlangsung. Setelah mengadu kepada ayah yang saya dah tak tahan nak kencing, dengan idea yang kurang bernasnya datang daripada kepala hotak beliau, beliau menyuruh saya kencing dalam cawan kertas coca cola kosong milik beliau selepas air coca cola yang tadi penuh telah selesai dihabiskannya. Tanpa memikirkan soal bagaimana dan di mana hendak beristinjak setelah membuang air kecil nanti, saya terus mencapai cawan kertas coca cola tersebut dan terus kencing sambil menggigil dan berdehem beberapa saat bagi melawaskan kencing tersebut. Cawan tersebut saya letakkan di depan kerusi batu tempat saya duduk. Sekiranya kalian pernah mengunjungi Stadium Merdeka pada zaman tersebut, pasti kalian dapat membayangkan bagaimana keadaan tempat duduk penonton. Ia hanyalah semata-mata batu panjang bertingkat dan tiada kerusi seketul-seketul seperti yang ada di Stadium Shah Alam. Berbalik pada cerita tadi, tanpa disedari ada lelehan air berpunca daripada cawan kertas tersebut keluar mengalir ke tempat duduk hadapan menuju ke arah punggung salah seorang penonton yang tidak dikenali. Rupa-rupanya, cawan tempat saya kencing tadi bocor sebab air batu yang tinggal telah mengoyakkan bahagian bawah cawan kertas tersebut. Mungkin disebabkan beberapa faktor seperti pertembungan antara udara panas dan suhu kecairan ais menyebabkan cawan tersebut koyak. Pada mulanya, saya buat tak tau je, tapi bile penonton tersebut mula bangun setelah merasakan kedinginan di punggungnya dan berpaling ke belakang, saya telah merasa cuak takut dimarahi sekiranya beliau mengetahui bahawa air yang mendinginkan punggungnya itu merupakan air kencing saya. Secara spontan, ayah mengcover line dengan meminta maaf sambil berkata "aisehmen bang, sori2, tak perasan pulak air coke saya bocor..peace..hehe. Ha tengok tu, dah nak gol dah tu bang". Nasib baik ayah saya pandai cover idea dia yang tidak bernas tu sehinggakan penonton tadi tak tau perkara sebenar yang berlaku.

Sekitar tahun 1991 hingga 1992 dahulu, ada satu cerita kartun bersiri mengenai bola sepak daripada Jepun telah ditayangkan di Malaysia dengan alih bahasa. Nama cerita tu KICKERS. Watak seperti Kakero, Masaru, Kenta memang tidak asing bagi rakan-rakan sebaya ketika bersembang mengenai cerita kartun tersebut pada ketika itu. Masing-masing nak tiru skill yang ditayangkan dalam KICKERS ketika beraksi di padang bola. Saya cuba mencari cerita tersebut di dalam youtube sama ada yang telah dialih bahasa ke Bahasa Malaysia ataupun sekurang-kurangnya dalam Bahasa Inggeris tetapi gagal. Kalaulah saya jumpa koleksi penuh cerita kartun tu, memang confirm saya beli tak kisah la berapa harga pun (tapi munasabah la harganya).

Pasukan KICKERS

Kakero & Masaru





Dalam saingan liga tempatan, sudah pastilah saya menyokong pasukan Johor. Cuma, sejak kali terakhir menjadi juara berganda liga semi pro dan Piala Malaysiapada tahun 1991, prestasi pasukan Johor telah merosot tahun demi tahun. Sejak liga Malaysia telah menjadi profesional dan kini dibahagikan kepada liga super (kelas pertama) dan liga perdana (kelas kedua) serta liga FAM (kelas ketiga), sehingga musim 2012, pasukan Johor (Johor FA) masih berada di dalam liga perdana. Oleh itu, usaha Presiden Johor FA iaitu Tunku Ismail (TMJ) yang membawa masuk pemain-pemain bertaraf bintang seperti Aidil Zafuan, Zaquan Adha, Safiq Rahim, Mat Yo, Muslim Ahmad, Azwan Roya serta dua pemain import iaitu Daniel Guiza dan Simone Del Nero diharap dapat memartabatkan kembali pasukan Johor yang telah lama dipandang sepi oleh pasukan negeri yang lain. Saya sebagai penyokong tegar (walaupun ketika zaman gelap pasukan bola sepak Johor) akan sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan negeri saya. Hidup Johor!

Sebagai penutup, ingin saya nasihatkan kepada rakyat Malaysia secara amnya dan rakyat Johor secara khususnya agar sekiranya kalian tak mampu nak menyokong ketika kalah, janganlah bersorak gembira ketika menang. Sebagai contoh, semasa awal perlawanan tadi, ada saya terlihat satu status di wall facebook yang mengondem dengan ayat -ayat cliche seperti "hampeh, main cara camni memang takkan menang punye la". Lepas tu, bila Azamuddin Akil menjaringkan gol pertama pasukan Malaysia pada minit ke-26 dan seterusnya gol kedua oleh Mahali Jasuli selang 3 minit kemudian, statusnya bertukar kepada kata-kata yang konon-kononnya semangat seperti "Cayok cayok Malaysia". Jadi, sikap seperti inilah yang kita perlu elakkan. Kalau, tak puas hati dengan persembahan, komen secara elok dan membina. Cuba kasik dia yang main kat padang tu, entah boleh perform ke tidak atau pun terus terkencing kat atas padang kot.

Pergh, berjaya juga saya menulis sebuah entri berbentuk serius kali ini. Tiada unsur-unsur humor diselitkan di dalam artikel. Sekian. Majulah Sukan Untuk Negara ! 

No comments:

Post a Comment