Tuesday, 27 November 2012

Akibat Tidak Membawa Baju PJ

Pi Jay atau 'PJ' seringkali dirujuk sebagai 'Petaling Jaya', 'Pergi Janaham', Perempuan Joget', 'Pipit Jantan' atau pun kadangkala digunakan sebagai carutan iaitu 'P****k J**o' ketika setan telah merasuk kalian. Bagi penduduk Kuala Terengganu pula, terdapat satu tempat yang turut dipanggil nama timangan 'PJ' bagi merasai suasana ke'KL'an. Bagaimanapun, tempat tersebut merujuk kepada Permint Jaya yang juga merupakan kampung isteri saya. Cukuplah intro setakat itu dan entri kali ini sudah pasti tiada kene mengena dengan apa yang saya 'repekkan' di atas sekiranya kalian peka dengan tajuk entri ini.

Bagi pelajar sekolah rendah dan menengah, istilah 'PJ' lebih sinonim dengan Pendidikan Jasmani yang merupakan sebuah subjek pelajaran wajib bagi Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) di sekolah-sekolah kerajaan seluruh negara. Selain subjek Matematik, subjek ini merupakan subjek kegemaran saya kerana tidak perlu duduk di atas bangku kayu di dalam kelas sambil melihat guru menulis di papan hijau. Kebiasaannya, pelajar akan beraktiviti di padang sekolah dengan berpakaian baju sukan mengikut rumah masing-masing. Aktiviti tersebut merangkumi bermain bola sepak bagi pelajar lelaki, bermain bola jaring (bagi pelajar perempuan) dan bermain bola sendiri bagi pelajar yang meragui status jantinanya.Haha, gurau je. Kalau kelakar, bolehlah kalian ketawa. Tapi, kalau sebaliknya, teruskan membaca perenggan berikutnya.

Kisah yang ingin saya ceritakan ini adalah satu peristiwa ketika saya berada di dalam darjah 1 kira-kira 19 tahun yang lepas. Pada hari tersebut merupakan hari PJ dan kebiasaannya saya akan terus memakai baju PJ di lapis dalam kemeja seragam berwarna putih yang wajib dipakai oleh pelajar sekolah. Untuk rekod, saya telah ditempatkan di rumah kuning dengan nama rumah 'Rajawali'. Menurut cikgu yang mengetuai rumah kuning, nama 'Rajawali' digunakan dengan harapan agar rumah-rumah lain gentar dengan pasukan kami ketika bertanding dalam acara olahraga tahunan ataupun sukan bola sepak. Bagaimanapun, disebabkan saya telah dilahirkan sebagai seorang yang genius seperti Adi Putra yang pandai matematik tu, saya mempersoalkan penerangan guru tersebut. Perbualannya seperti berikut:

Cikgu A : Kamu harus berbangga sebab berada dalam rumah Rajawali sebab rumah-rumah lain akan gentar dengan pasukan kita.
Saya : Apa yang nak gentarnya cikgu, kan Rajawali tu burung kecik je. Lainla rumah biru tu. Nama diorang Garuda.
Cikgu A : Kamu apa tau, kamu belum sunat lagi.
Saya : Cikgu dah sunat?
Cikgu A : Jap cikgu check. Oh, dah sunat rupanya.

Perbualan seterusnya tidak perlu diceritakan kerana ia lebih kepada perbualan man to man antara saya dan cikgu tersebut.

Ok, berbalik pada cerita asal, pada hari tersebut saya terlupa untuk membawa baju PJ dan seluar track ke sekolah disebabkan ibu saya terlupa untuk menyiapkan pakaian tersebut untuk saya. Setibanya waktu PJ pada hari tersebut, saya dengan selamba bersama rakan-rakan yang lain menuju ke padang sekolah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk bermain bola sepak walaupun saya sedar bahawa saya tidak membawa baju PJ

Dengan berbekalkan hasrat untuk bermain di posisi kegemaran saya iaitu posisi 69..eh silap, posisi wing/sayap, kami pelajar lelaki tidak termasuk pelajar perempuan dan pelajar bapok telah mengambil posisi masing-masing di atas padang. Bagaimanapun, belum sempat kick off dimulakan, satu wisel dibunyikan disertai dengan perkataan "sape yang tak bawak baju PJ, berkumpul di sini". Saya dan beberapa pelajar yang tidak membawa baju PJ (tak ingat berapa lelaki, berapa perempuan) dengan muka yang ketakutan menuju ke tempat berkumpul. Sejurus tiba, cikgu mengajukan soalan kepada kami mengapa tak bawa baju PJ. Disebabkan saya merupakan pelajar yang terkenal dengan kepetahan berkata-kata di peringkat kelas mahupun sekolah, maka saya orang pertama yang menjawab soalan tersebut. Sambil membuat memek muka yang comel seperti wajah eron ajis ketika kanak-kanak agar cikgu tidak mendenda kami, saya menjawab dengan penuh kejujuran "Mak saya terbuat kain buruk lap muntah adik saya pagi tadi cikgu". Tanpa diduga, jawapan tersebut rupanya telah mengundang kemarahan cikgu walaupun pada waktu tersebut saya merasakan bahawa cikgu pasti bersimpati dengan nasib yang menimpa baju PJ saya.

Akhirnya, kami semua didenda akibat tidak membawa baju PJ ketika waktu PJ. Macam pelik je ayat ni. Ok tak mengapa, teruskan membaca. Denda yang dikenakan oleh cikgu tersebut adalah pelajar lelaki perlu membuka baju dan singlet (jika ada) dan hanya berlengging sahaja manakala pelajar perempuan juga perlu membuka baju tetapi tidak perlu membuka coli atau singlet. Eh sekejap, ada ke budak darjah 1 yang dah pakai coli?. Disebabkan waktu tersebut masih pagi (sekitar pukul 8.45 pagi), saya merasa agak sejuk setelah menanggalkan kemeja seragam. Bagaimanapun, saya tidak mempunyai sedikit perasaan malu memandangkan dapat juga saya menayangkan tubuh badan saya yang tegap ala-ala Matt Damon disertai dengan 6 pack yang dilukis dengan menggunakan pen marker. Ada sorang budak perempuan yang tak bawak baju PJ ni, dia tak pakai singlet. So, tanpa exception, beliau juga terpaksa menanggalkan baju kurung putih yang beliau pakai walaupun tiada singlet sebab arahan cikgu mudah, "lelaki bukak baju dan siglet, perempuan bukak baju sahaja". So, nasib la kalau sapa-sapa budak perempuan yang tak pakai singlet ye tak. Takkan dia nak bukak kulit badan dia pulak. Saya tak ingat sapa dan nama budak perempuan tu. Kalau beliau baca entri ini dan ingat kejadian tersebut, sila maklumkan kepada saya.

Saya sebenarnya tak kisah sebab kene denda macam tu, tapi yang saya kisah sebab semua pelajar yang didenda tidak dibenarkan bermain pada waktu PJ tersebut. So, terpaksalah saya jadi budak pengutip bola sambil melihat posisi kegemaran saya diambil alih oleh Muhammad Nur Firdaus yang mana akhirnya saya telah mengatasinya dalam perebutan tempat sebagai pemain sayap kanan dalam kesebelasan utama skuad bola sepak sekolah.

Jadi, itulah kali pertama dan kali terakhir saya didenda sewaktu mata pelajaran PJ. Lepas-lepas daripada tu, saya telah membawa baju PJ setiap hari supaya hasrat saya untuk bermain bola sepak tidak terbantut dek kerana ditegah oleh cikgu sebagai denda tidak membawa baju PJ. Sekian.

Monday, 26 November 2012

Selamat Pengantin Baru Cekmi

Entri ini dibuat khas sebagai penghormatan kepada bapak sedara saya iaitu Cekmi atau nama penuhnya Encik Mohd Fuad bin Besah. Tapi kalian jangan salah sangka pulak, penghormatan ini bukanlah bermaksud beliau telah kembali ke alam barzakh, tetapi bagi mengucapkan tahniah kepada beliau yang baru-baru ini telah mendirikan rumah tangga buat kali pertama dengan gadis pilihan beliau iaitu saya panggil sebagai Cik Yati sahaja.

Majlis resepsi menyambut menantu telah diadakan di Kampung Seri Cantik, Sengkang, Muar, Johor iaitu kampung halaman beliau merangkap bapak saya dan adik beradiknya yang lain. Oleh sebab mood untuk menulis tiada pada malam ini, ayuh layan foto-foto semasa majlis tersebut berlangsung.

Ni gambar saya dan cekmi. Kalau tak silap masa ni umur saya setahun dan beliau 11 tahun. Comel bukan saya pada waktu ni?








Yang baju biru pakai songkok hitam tu la bapak saya

Yang duduk atas kerusi roda tu atok saya


Isteri dan anak tersayang



Selepas menepung tawar

Ibu saya buat2 sibuk masa acara membaling duit syiling. Ibu jangan poyo sangat !

Makan biadap


Riri memerhatikan sesi mengumpat


Konon2 macam Monoloque


Riri & Fahri (anak adik saya)


Riri bermanja dengan Tok Ayah sebelum pulang ke Putrajaya


 So, kepada cekmi, cepat-cepatla buat anak. Tak sabo nak dapat sepupu baru. Sekian

Sunday, 25 November 2012

Tips Kebahagiaan Rumah Tangga Oleh Abang Que



Setiap pasangan yang telah berkahwin (pastinya nikah terlebih dahulu) mengimpikan kemanisan dan kenikmatan dalam melayari kehidupan sebagai suami isteri. Tiada seorang isteri mahupun suami yang mahu rumah tangga yang dibina hancur berkecai ibarat sirih pulang ke gagang mangkuk kaca masak megi yang dipecahkan oleh Muhammad Qusyairi. Baiklah, sebagai pakar kaunseling dan bakal juara rancangan realiti Menantu Soleh musim pertama,  Abang Que ingin memerikan sedikit tips kepada kaum hawa bagaimana untuk menambat hati suami dalam memastikan kemanisan dan kenikmatan rumah tangga dapat dikecapi selain daripada mendapatkan penghormatan daripada sang suami. Bagaimanapun, tips ini hanya terpakai kepada pasangan yang telah berkahwin dengan akad nikah yang sah dan tidak terpakai kepada pasangan yang telah berkahwin tapi belum nikah atau dengan kata lainnya bersekedudukan. Walaupun kalian terasa mual kerana saya membahasakan diri sebagai “Abang Que” untuk entri kali ini, ayuh teruskan membaca!

Pandai Memasak
Semasa Abang Que bujang dahulu, seorang rakan bernama Encik Abdul Manap bin Japar ada mengatakan kepada Abang Que bahawa kalau nak cari isteri, carilah yang pandai memasak kerana kalau seorang isteri tu nak jaga suami dia, maka jagalah juga perutnya (perut suami). Konteks menjaga perut suami di sini bukanlah bermaksud bahawa kalian perlu membersihkan pusat mahupun permukaan perut suami pada setiap hari agar kelihatan engsem dan licin tanpa sedikit bintik hitam ataupun jerawat. Tetapi lebih kepada memasakkan makanan terutamanya makanan kegemaran suami agar suami tertawan dengan kesedapan dan keenakan masakan kalian. Oleh itu, sekiranya kalian menjadikan hobi menonton rancangan Master Chef dan mengumpul koleksi video berkaitan masakan, ia merupakan satu pilihan yang tepat agar skill atau teknik masakan kalian dapat dipertingkatkan dari sehari ke sehari. Kalau kalian malas nak menonton Master Chef, boleh juga membaca entri berkenaan masakan yang Abang Que pernah buat dahulu di link http://quekerm.blogspot.com/2012/10/tutorial-chep-que-cara-memasak-mi.html. Tetapi, satu nasihat Abang Que agar janganlah kalian sekali-kali membuat nasi kangkang untuk dihidangkan kepada suami dengan tujuan supaya mereka menuruti kehendak kalian kerana ini merupakan satu dosa besar dan tidak diredhai oleh Allah s.w.t.

Pandai Menari
Konteks pandai menari di sini bukanlah bermaksud kalian perlu pandai menari seperti peserta Rancangan Sehati Berdansa ataupun sekurang-kurangnya penari tiang di kelab malam, tetapi ia lebih kepada pandai menari bagi permainan PS3 “dance-dance revolution” atau “everybody dance”. Haha, kelakar tak lawak yang Abang Que cuba lakukan?Pasti tidak bukan?. Ok, maksud sebenar abang Que adalah kadang-kadang, sekiranya suami kalian sedang keletihan atau stress disebabkan kerja, tidak menjadi kesalahan jika kalian cuba menghiburkan hati mereka dengan menari ala-ala kumpulan Big Bang seperti dalam video klip lagu Fantastic Baby atau gaya menari catwalk sambil bawak beg baju troli macam Adira dalam video klip Ilusi. Pasti sang suami yang sedang keletihan tadi akan terhibur dengan tarian anda dan seterusnya mengurangkan rasa stress yang ada dalam diri. Sebagai suami, Abang Que juga kadangkala ada mempraktikkan tips ini contohnya ketika isteri sedang keletihan memasak di dapur atau baru pulang rumah dari tempat kerja, Abang Que akan secara tiba-tiba berjoget sambil menyanyikan lagu Fantastic Baby sejibik (bukan typo, memang sengaja) macam Big Bang buat. Ataupun kadangkala Abang Que akan menari tiang dekat salah sebuah tiang dalam rumah Abang Que. Tapi bezanya tarian Abang Que dengan penari tiang komersial yang lain adalah Abang Que tidak memakai coli dan spender sahaja seperti mereka sebaliknya berpakaian lengkap menutup aurat (kadangkala memakai kopiah) dan yang pastinya tiada props tambahan seperti 2 biji buah limau sunkist grade A dan sepasang coli digunakan.

Big Bang


Penari Tiang

 Pandai Buat Kelakar atau Kelawak
Kalau kalian ni merupakan Jihan Raja Lawak, pastinya kalian tidak mempunyai masalah dalam mengaplikasikan tips ini. Bagaimanapun, teknik ini boleh dipelajari dan di’developed’ secara perlahan-lahan dengan cara menonton rancangan realiti berbentuk lawak seperti Maharaja Lawak Mega atau mana-mana rancangan berbentuk sama yang ditayangkan di saluran ASTRO Warna. Sekiranya kalian tidak melanggan saluran ini, kalian juga boleh bergaul dengan rakan-rakan kalian yang berpotensi dalam kemahiran membuat lawak agar kalian dapat memerhati teknik-teknik dan bahan yang digunakan oleh rakan kalian dalam menghiburkan hati dan membuat kalian ketawa.

Jangan Sesekali Meninggikan Suara Dengan Suami
Baiklah, ini merupakan tips yang paling penting yang perlu kalian praktikkan kerana kebanyakan suami tidak suka atau pentang apabila isteri meninggikan suara di hadapannya. Faktor ini mungkin disebabkan ada sedikit perasaan ego sebagai lelaki yang ada dalam diri mereka. Tapi kalau bapok atau pondan, Abang Que kurang pasti sama ada istilah “perasaan ego sebagai lelaki” tu relevan atau tidak dengan mereka atau perlu digantikan dengan “perasaan ego sebagai seorang bapok” mungkin? Jadi, sekiranya kalian bertengkar dengan suami, cuba elakkan daripada bercakap meninggikan suara walaupun kadangkala memang suami yang buat salah atau tak betul. Memang tidak boleh dinafikan yang kadangkala kesalahan atau punca pergaduhan atau pertikaman lidah tu berpunca daripada suami. Cara yang terbaik adalah kalian hanya perlu menangis sahaja sambil berlari ke dalam bilik dan menekupkan muka dengan bantal. Lagipun, jika perkara ini dilakukan oleh kalian ia tidak akan menjadi isu besar atau boleh dipertikaikan kerana sudah memang sifat semula jadi wanita adalah begitu (berhati lembut dan mudah tersentuh). Cuba kalian bayangkan kalau tiba-tiba suami pulak yang macam tu (menangis sambil lari ke dalam bilik), bukankah karakternya sebagai lelaki boleh dipertikaikan? Ya betul, lelaki juga menangis, tetapi biasanya lelaki hanya menangis di dalam hati sahaja.

Jadi, itulah serba sedikit tips yang Abang Que dapat kongsikan dalam entri kali ini. Semoga kalian dapat mencuba dalam melayari kehidupan berumah tangga yang mencabar. Bagi kaum suami pula, Abang Que ingin berpesan agar janganlah sekali-kali kalian hancurkan hati isteri (atau isteri-isteri) kalian dan yang paling penting, jangan pukul, sepak, terajang, lempang atau apa-apa perbuatan fizikal keras lain terhadap isteri. Abang Que pantang kalau nampak lelaki yang begini. Ok, Abang Que berhenti setakat ini dahulu. Semoga berjumpa lagi dalam entri akan datang. Sekian.