Sunday, 25 November 2012

Tips Kebahagiaan Rumah Tangga Oleh Abang Que



Setiap pasangan yang telah berkahwin (pastinya nikah terlebih dahulu) mengimpikan kemanisan dan kenikmatan dalam melayari kehidupan sebagai suami isteri. Tiada seorang isteri mahupun suami yang mahu rumah tangga yang dibina hancur berkecai ibarat sirih pulang ke gagang mangkuk kaca masak megi yang dipecahkan oleh Muhammad Qusyairi. Baiklah, sebagai pakar kaunseling dan bakal juara rancangan realiti Menantu Soleh musim pertama,  Abang Que ingin memerikan sedikit tips kepada kaum hawa bagaimana untuk menambat hati suami dalam memastikan kemanisan dan kenikmatan rumah tangga dapat dikecapi selain daripada mendapatkan penghormatan daripada sang suami. Bagaimanapun, tips ini hanya terpakai kepada pasangan yang telah berkahwin dengan akad nikah yang sah dan tidak terpakai kepada pasangan yang telah berkahwin tapi belum nikah atau dengan kata lainnya bersekedudukan. Walaupun kalian terasa mual kerana saya membahasakan diri sebagai “Abang Que” untuk entri kali ini, ayuh teruskan membaca!

Pandai Memasak
Semasa Abang Que bujang dahulu, seorang rakan bernama Encik Abdul Manap bin Japar ada mengatakan kepada Abang Que bahawa kalau nak cari isteri, carilah yang pandai memasak kerana kalau seorang isteri tu nak jaga suami dia, maka jagalah juga perutnya (perut suami). Konteks menjaga perut suami di sini bukanlah bermaksud bahawa kalian perlu membersihkan pusat mahupun permukaan perut suami pada setiap hari agar kelihatan engsem dan licin tanpa sedikit bintik hitam ataupun jerawat. Tetapi lebih kepada memasakkan makanan terutamanya makanan kegemaran suami agar suami tertawan dengan kesedapan dan keenakan masakan kalian. Oleh itu, sekiranya kalian menjadikan hobi menonton rancangan Master Chef dan mengumpul koleksi video berkaitan masakan, ia merupakan satu pilihan yang tepat agar skill atau teknik masakan kalian dapat dipertingkatkan dari sehari ke sehari. Kalau kalian malas nak menonton Master Chef, boleh juga membaca entri berkenaan masakan yang Abang Que pernah buat dahulu di link http://quekerm.blogspot.com/2012/10/tutorial-chep-que-cara-memasak-mi.html. Tetapi, satu nasihat Abang Que agar janganlah kalian sekali-kali membuat nasi kangkang untuk dihidangkan kepada suami dengan tujuan supaya mereka menuruti kehendak kalian kerana ini merupakan satu dosa besar dan tidak diredhai oleh Allah s.w.t.

Pandai Menari
Konteks pandai menari di sini bukanlah bermaksud kalian perlu pandai menari seperti peserta Rancangan Sehati Berdansa ataupun sekurang-kurangnya penari tiang di kelab malam, tetapi ia lebih kepada pandai menari bagi permainan PS3 “dance-dance revolution” atau “everybody dance”. Haha, kelakar tak lawak yang Abang Que cuba lakukan?Pasti tidak bukan?. Ok, maksud sebenar abang Que adalah kadang-kadang, sekiranya suami kalian sedang keletihan atau stress disebabkan kerja, tidak menjadi kesalahan jika kalian cuba menghiburkan hati mereka dengan menari ala-ala kumpulan Big Bang seperti dalam video klip lagu Fantastic Baby atau gaya menari catwalk sambil bawak beg baju troli macam Adira dalam video klip Ilusi. Pasti sang suami yang sedang keletihan tadi akan terhibur dengan tarian anda dan seterusnya mengurangkan rasa stress yang ada dalam diri. Sebagai suami, Abang Que juga kadangkala ada mempraktikkan tips ini contohnya ketika isteri sedang keletihan memasak di dapur atau baru pulang rumah dari tempat kerja, Abang Que akan secara tiba-tiba berjoget sambil menyanyikan lagu Fantastic Baby sejibik (bukan typo, memang sengaja) macam Big Bang buat. Ataupun kadangkala Abang Que akan menari tiang dekat salah sebuah tiang dalam rumah Abang Que. Tapi bezanya tarian Abang Que dengan penari tiang komersial yang lain adalah Abang Que tidak memakai coli dan spender sahaja seperti mereka sebaliknya berpakaian lengkap menutup aurat (kadangkala memakai kopiah) dan yang pastinya tiada props tambahan seperti 2 biji buah limau sunkist grade A dan sepasang coli digunakan.

Big Bang


Penari Tiang

 Pandai Buat Kelakar atau Kelawak
Kalau kalian ni merupakan Jihan Raja Lawak, pastinya kalian tidak mempunyai masalah dalam mengaplikasikan tips ini. Bagaimanapun, teknik ini boleh dipelajari dan di’developed’ secara perlahan-lahan dengan cara menonton rancangan realiti berbentuk lawak seperti Maharaja Lawak Mega atau mana-mana rancangan berbentuk sama yang ditayangkan di saluran ASTRO Warna. Sekiranya kalian tidak melanggan saluran ini, kalian juga boleh bergaul dengan rakan-rakan kalian yang berpotensi dalam kemahiran membuat lawak agar kalian dapat memerhati teknik-teknik dan bahan yang digunakan oleh rakan kalian dalam menghiburkan hati dan membuat kalian ketawa.

Jangan Sesekali Meninggikan Suara Dengan Suami
Baiklah, ini merupakan tips yang paling penting yang perlu kalian praktikkan kerana kebanyakan suami tidak suka atau pentang apabila isteri meninggikan suara di hadapannya. Faktor ini mungkin disebabkan ada sedikit perasaan ego sebagai lelaki yang ada dalam diri mereka. Tapi kalau bapok atau pondan, Abang Que kurang pasti sama ada istilah “perasaan ego sebagai lelaki” tu relevan atau tidak dengan mereka atau perlu digantikan dengan “perasaan ego sebagai seorang bapok” mungkin? Jadi, sekiranya kalian bertengkar dengan suami, cuba elakkan daripada bercakap meninggikan suara walaupun kadangkala memang suami yang buat salah atau tak betul. Memang tidak boleh dinafikan yang kadangkala kesalahan atau punca pergaduhan atau pertikaman lidah tu berpunca daripada suami. Cara yang terbaik adalah kalian hanya perlu menangis sahaja sambil berlari ke dalam bilik dan menekupkan muka dengan bantal. Lagipun, jika perkara ini dilakukan oleh kalian ia tidak akan menjadi isu besar atau boleh dipertikaikan kerana sudah memang sifat semula jadi wanita adalah begitu (berhati lembut dan mudah tersentuh). Cuba kalian bayangkan kalau tiba-tiba suami pulak yang macam tu (menangis sambil lari ke dalam bilik), bukankah karakternya sebagai lelaki boleh dipertikaikan? Ya betul, lelaki juga menangis, tetapi biasanya lelaki hanya menangis di dalam hati sahaja.

Jadi, itulah serba sedikit tips yang Abang Que dapat kongsikan dalam entri kali ini. Semoga kalian dapat mencuba dalam melayari kehidupan berumah tangga yang mencabar. Bagi kaum suami pula, Abang Que ingin berpesan agar janganlah sekali-kali kalian hancurkan hati isteri (atau isteri-isteri) kalian dan yang paling penting, jangan pukul, sepak, terajang, lempang atau apa-apa perbuatan fizikal keras lain terhadap isteri. Abang Que pantang kalau nampak lelaki yang begini. Ok, Abang Que berhenti setakat ini dahulu. Semoga berjumpa lagi dalam entri akan datang. Sekian.



1 comment:

  1. Haha.. Btul! Btul! pengunaan ayat2 yg mmg tahap gaban klaka mmg pecah perut sy ketawa!

    ReplyDelete